Sunday, 24 December 2017

Intervensi Pupuk Gaya Hidup Sihat Kanak-Kanak - TPM Zahid


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu tindakan intervensi dalam kalangan kanak-kanak terutama di peringkat sekolah menjadi keutamaan untuk memupuk gaya hidup sihat dalam menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Beliau berkata penyakit NCD seperti diabetes, hipertensi, hiperkolestrolemia dan obesiti menunjukkan trend meningkat dan ia juga meningkatkan kos rawatan penyakit dalam negara.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan intervensi dalam kalangan kanak-kanak penting untuk memupuk gaya hidup aktif dan pemakanan sihat supaya ia terus menjadi budaya hidup sehingga dewasa.

“Langkah ini wajib dilaksanakan kerana perubahan tingkah laku dan pembudayaan gaya hidup sihat bermula daripada awal usia kanak-kanak bagi mewujudkan rakyat Malaysia sihat dan berproduktiviti tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Ke Arah Persekitaran Hidup yang Sihat (JKPHS) 1/2017 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Ahmad Zahid menyarankan semua kementerian, agensi dan jabatan terlibat memberikan komitmen sepenuhnya kepada pelaksanaan dasar persekitaran hidup sihat dalam menangani trend peningkatan NCD dalam negara.

Beliau berkata kerajaan boleh membina jumlah hospital yang lebih banyak, meningkatkan jumlah fasiliti dan anggota kesihatan tetapi tanpa usaha membangunkan dasar ke arah persekitaran hidup sihat dan peranan aktif setiap kementerian, agensi dan jabatan adalah mustahil untuk mencegah penyakit NCD dengan berkesan.

Dalam mesyuarat JKPHS hari ini, Ahmad Zahid berkata ia memberi fokus kepada pelaksanaan dasar ke arah persekitaran hidup sihat yang dipersetujui di peringkat mesyuarat Jemaah Menteri dan usaha-usaha pencegahan NCD.

“Sebanyak 13 dasar ke arah persekitaran hidup yang sihat telah dibincangkan bagi status pelaksanaan setiap dasar untuk tempoh 2018-2019.

“Peningkatan kos rawatan di hospital dan klinik swasta menyebabkan rakyat beralih kepada fasiliti kerajaan.

“Walaupun Kementerian Kesihatan menerima peruntukan RM27 bilion dalam Bajet 2018, namun jumlah ini belum dapat menampung beban penyakit NCD untuk jangka masa panjang sekiranya langkah pencegahan penyakit kronik ini tidak dilaksanakan,” katanya.

Mesyuarat JKPHS merupakan satu-satu Jawatankuasa Kabinet yang bertindak sebagai platform bagi membincang dan mengenal pasti tindakan susulan bagi menangani penyakit NCD yang memerlukan pengllibatan aktif daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

Jawatankuasa ini ditubuhkan pada 2011 dan dianggotai 13 kementerian.
Reactions: