Saturday, 27 January 2018

TPM Zahid Arah Siasat Projek Pembinaan Dewan Yang Tidak Mengikut Spesifikasi


BAGAN DATUK - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat projek pembinaan bangunan Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang yang dirasmikannya, sebentar tadi.

"Jangan main-main dengan saya", demikian amaran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan rasa tidak puas hati beliau terhadap kualiti binaan dewan terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang dekat sini.

Beliau berkata spesifikasi dewan itu dilihat tidak setimpal dengan jumlah peruntukan sebanyak RM600,000 yang disumbangkan Jabatan Perdana Menteri.

“Jangan hina orang Bagan Datuk, jangan hina SMK Hutan Melintang, saya tak puas hati, saya tidak akan pernah puas hati, RM600,000 macam ini ke? Walaupun saya duduk di atas tetapi saya tetap berpijak di bumi Bagan Datuk, saya tidak boleh terima, rakyat Bagan Datuk tidak boleh terima.

"Siapa agensi pelaksana, kontraktor jangan main-main, kalau RM600,000 mesti RM600,000 nilainya, jangan ‘claim' RM600,000 tetapi nilai sebenar seperti RM300,000,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri nyata tidak berpuas hati terhadap spesifikasi yang dilihat mempunyai banyak kekurangan berbanding kos RM600,000 diberikan menerusi peruntukan Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, mengarahkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) serta agensi pelaksana peringkat negeri dan Persekutuan memantau projek dilaksanakan.

"Laporkan kepada SPRM jika berlaku kekurangan supaya tindakan boleh diambil terhadap pihak yang melakukan penyelewengan, walaupun wakil rakyat BN sendiri yang melakukan kesalahan itu," katanya di sini, hari ini.




Reactions: